Tuesday 4 October 2011

SUJUDLAH...




SOLAT adalah kewajipan yang perlu ditunaikan sejak Nabi Muhammad s.a.w selepas melalui peristiwa besar yang dinamakan Israk dan Mikraj.
Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah S.W.T memerintahkan Rasulullah s.a.w hanya bersolat lima kali sehari semalam.

Ia adalah berita yang menakjubkan di mana manusia diberikan keringanan begitu banyak. Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad S.A.W.

Namun, masih ramai di kalangan masyarakat Islam mengabaikan solat yang adalah kefarduan kepada mereka. Mereka menganggap solat membuang masa dan tidak memberi apa-apa kesan dan manfaat.
Padahal, apa yang mereka lakukan di dunia sebenarnya jauh lebih leka dan terpesong daripada landasan Islam yang sebenar. Solat dipandang rendah dan ramai mengambil langkah mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.

Allah tidak mensia-siakan apa yang diperintahkan, dan manusia perlulah mengkaji keindahan dan kehebatan Maha Pencipta. Jika tidak, masakan manusia tahu erti bersyukur kerana tidak mencintai Tuhan melebihi dari segala-galanya jika tidak mengetahui kehebatan-Nya.
Ibarat solat selama 5 minit akan merugikan mereka, dan pada waktu itu sahajalah dianggap masa itu emas. Sedangkan terdapat banyak perkara lain lagi yang mengakibatkan masa emas itu tidak bernilai lagi akibat tidak menunaikan solat.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertindak merungkai persoalan solat berkaitan sains. ianya sangatlah jelas berdasarkan kajian yang telah dibuat.
Begitu pula halnya dengan Saudara Muslim yang kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Kadangkala, mereka hanya mengikut apa yang dilihat. Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan tersebut adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bid’ah.
perkara ini pastinya menyebabkan Saudara Muslim tidak khusyuk dan kurang konsisten semasa bersolat. Ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat. Pandangan sebegini perlu diubah kerana menyembah Tuhan, yakni Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.



Dia adalah raja kepada segala Raja dan pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus. Di samping itu, hamba-Nya yang beriman akan memperoleh fadhilat solat tanpa disedari. Terdapat banyak kelebihan dari sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji.
Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu ialah dalam keadaan rehat. Jika dilihat dari sudut ahli fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.


Di dalam posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang peha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan. Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.. Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu sebelum diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik untuk menjadikan otot besar dan kuat.
Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan

HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam. Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum. Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri. Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan.

Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat.

Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain.

Kedudukan rukuk dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Begitu juga tabiat membengkokkan ibu jari dalam kedudukan sujud dan duduk semasa tahiyat yang dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan membuang lemak dalam badan, sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung. Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak.Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas.

Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat.Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis.

Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi. Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan.

Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel (ICW) serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel (ECW). Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat.

Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan.

Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan  perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ia termasuk mengerjakan solat lima waktu dalam sehari..

Oleh itu.. ingatlah, jangan kamu semua leka dan menganggap solat ini sesuatu yang remeh.. SUJUDLAH kamu kepada NYA...
ALLAH swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... 

No comments:

Post a Comment